Rabu, 28 November 2012

Coretan Pena


 
        Sajak "Dengarlah Anak-anak Didikku' ini adalah hasil nukilan cikgu sendiri 15 tahun yang lalu. Sememangnya sajak ini didedikasikan teristimewa untuk anak-anak didik yang cikgu sayangi. Hayatilah untaian sajak ini sebagai sebahagian daripada panduan hidup anak-anak didikku sekalian dalam mengharungi kehidupan yang mendatang.

Dengarlah anak-anak Didikku
Setiap sore
kaki diorak
hening pagi diredah
kicauan burung mengiringi
semangat abadi.

Derapan sepatu
bongkah-bongkah batu disusuri
kayu-kayu persegi diseliti
papan kapur teman diri
istilah jemu pantang bersemadi
bersama nafas perjuangan
mendidik generasi wawasan.

Di celah-celah dinding
terngiang-ngiang
ABC dilaungkan
alif, ba, ta dilagukan
nyanyian dialunkan
mengira bait-bait angka
menghitung titian rasa
baris-baris huruf terungkap
tangan-tangan kerdil menadah
tercalit tinta merah
benih keilmuan
minda tersemai.

Dengarlah wahai anak-anak didikku,
pengajaran,
pengalaman
serta penghidupan
mengajar erti kejayaan.

Emosi,
rohani,
jasmani,
intelek
juga keazaman
menuntut kejituan.

Dengarlah anak-anakku,
era kemodenan
kecanggihan
menanti orak langkahmu di hadapan.

Ingatlah,
kamu semua adalah pewaris
kamu juga tunggak negara!

Ayuh,
sematkan azam
kuatkan semangat
agar kejayaan
mampu digenggam!

Anak-anakku sekalian,
ingatlah pesan guru ini…
bukan pinta diagungkan
bukan jua menagih simpati
tapi cukuplah…..
cukuplah sekadar
kejayaanmu yang mengiringi
itulah kemenangan kami
itulah kegembiraan kami
untuk kami insan guru.

Perjuangkanlah
tingkatkanlah usaha
wahai anak-anakku…..
nescaya,
esok dicipta
untuk kalian.




Mengarang Sajak
Sekarang, tiba giliran murid-murid pula untuk mengarang sebuah sajak yang dapat menggambarkan perasaan serta harapan terhadap orang yang kamu sayangi. 

Selasa, 27 November 2012

Indahnya Bahasa Kita


         
              Pantun merupakan salah satu daripada jenis-jenis puisi. Keindahan dan kehalusan bahasa yang digunakan dalam sesebuah pantun itu tidak terungkap dek kata-kata. Pelbagai nasihat, jenaka mahupun ilmu banyak diselitkan dalam menyampaikan maksud tersurat dan tersirat kepada masyarakat. 

       Semasa saya belajar di sekolah rendah 33 tahun yang lalu, pantun, gurindam, seloka, sajak dan banyak lagi telah diajar. Setiap tahun, kami akan dibekalkan dengan sebuah buku puisi. Pantun-pantun lama menjadi mainan di bibir kami.

        Apa yang menyedihkan, usaha ini tidak diteruskan dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah rendah kini. Hal yang demikian, tidak hairanlah generasi sekarang tidak mengenali puisi kita yang terdahulu. Sayang bukan? Ini satu keadaan yang amat membimbangkan kita dalam usaha memastikan pantun-pantun lama seperti ini tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. 

              Tontonlah video 'Gurindam Jiwa' yang dipaparkan untuk membuktikan betapa indah dan halusnya bahasa kita dalam pantun-pantun yang dinyanyikan.

Tugasan hari ini;
Murid-murid dikehendaki menyalin dua daripada rangkap pantun yang terdapat di dalam video tersebut menggunakan tulisan berangkai.

Isnin, 26 November 2012

KATA PUJANGGA


Tiada Kata Secantik Bahasa
Kata-kata pujangga amat indah, hayatilah..

Lembar Bahasa (DBP)


          Sedarkah kita bahawa cara sebutan sesuatu perkataan bahasa Melayu berbeza mengikut nada serta intonasi dan adakalanya ia mengelirukan lebih-lebih lagi perkataan-perkataan yang dipinjam daripada bahasa asing. Hal yang demikian, marilah sama-sama kita pelajari ejaan yang betul bagi beberapa perkataan di bawah dengan merujuk Lembaran Bahasa DBP ini.

KESILAPAN MENGEJA PERKATAAN
SALAH
BETUL
deligasi
fax
emel
forklift
ide
impot
injin
insuran
kelendar/ kelender
ko-kurikulum
kolestrol
komersil
kontingen
komplek
lagenda
lanskap
label
leukimia
liberalisma
lojik
losyen
maksima
mee
mekanisma
delegasi
faks
e-mel
forklif
idea
import
enjin
insurans
kalendar
kokurikulum
kolesterol
komersial
kontinjen
kompleks
legenda
landskap
label
leukemia
liberalisme
logik
losen
maksimum
mi
mekanisme
Betulkan yang Salah,
Biasakan yang Betul