Jumaat, 30 November 2012

Kata Kerja

                                                                    
            Salam Sejahtera murid-murid. Apa khabar pagi ini? Baiklah, kalian hendak tahu cara-cara untuk berjaya dalam pelajaran? Apa kata, bacalah 'Resepi Kejayaan' yang cikgu paparkan di bawah. Selepas itu, murid-murid dikehendaki menyenaraikan kata kerja yang terdapat di dalam resipi tersebut untuk mencari maksud dengan merujuk e-Kamus Dewan Bahasa Pustaka (DBP) yang terdapat di sebelah kanan skrin blog ini. Buat latihan ini di dalam buku tulis Perbendaharaan Kata.

Untuk intinya:
Beberapa ratus gram latihan dan ulangkaji
Dua kotak serbuk azam
Dua bungkus minat
Secubit ingatan

Untuk kulitnya:
Satu cawan tekun dan sabar
Sekeping jadual
Tiga mangkuk rajin
Dua pinggan usaha
Bacaan secukupnya

Untuk hiasan:
Sepinggan tawakal
Segenggam doa

Cara membuatnya:
      Gaulkan bacaan, rajin, tekun dan sabar di dalam kotak fikiran. Uli dengan lembut. Jika adunan agak keras, tambahkan rajin dan bacaan sehingga mencapai matlamat yang diinginkan. Campurkan jadual untuk melengkapkan adunan ini. 
       
       Untuk intinya, campurkan minat, azam, latihan dan ulang kaji yang telah diayak. Tambahkan ingatan sebagai pemanis. Ingat, resepi ini tidak perlu dicampur dengan bahan lain seperti cinta dan yang seumpamanya kerana ia boleh merosakkan adunan.
       
     Sekarang, canaikan kulit yang telah diuli tadi. Elakkan daripada kulit yang dicanai daripada berlubang agar virus malas tidak akan meresap ke dalam adunan ini. Masukkan inti ke dalam kulit yang telah siap dicanai, bungkuskan dan bentukkan mengikut citarasa sendiri. Gorengkan sehingga masak. Setelah sejuk, hiaskan dengan doa dan tawakal.

        Selamat mencuba dan semoga berjaya.

Bijak Peribahasa

Salam sejahtera semua. 
Hari ini kita akan menjawab beberapa soalan Bijak Peribahasa yang terdiri daripada peribahasa dan bandingan semacam. Jawablah dengan teliti. Fahami setiap ayat serta soalan yang diberi. Selamat mencuba.

BAHAGIAN A
Pilih peribahasa yang sesuai bagi maksud yang diberikan di bawah.
   

   Ø  Bagaimana acuan, begitulah kuihnya
   Ø  Bagai pinang dibelah dua
   Ø  Nasi sudah menjadi bubur
   Ø  Sudah jatuh ditimpa tangga
   Ø  Sediakan payung sebelum hujan


1. Bersedia dan berhati-hati sebelum menghadapi bencana.

Ø               ________________________________________________________________________

2. Sudah terlanjur melakukan kesilapan, tidak dapat diubah lagi.

Ø               ________________________________________________________________________

3. Biasanya anak akan mengikut tingkah laku ibu atau bapanya.

Ø              ________________________________________________________________________

4. Ditimpa bencana berturut-turut.

Ø               ________________________________________________________________________

5. Pasangan pengantin yang sama cantik dan sama padan.

Ø              ________________________________________________________________________


BAHAGIAN B
Lengkapkan bandingan semacam di bawah.

1. kaya seperti ___________________________      4. tajam seperti _______________________    

2. sibuk seperti ___________________________      5. berat seperti _______________________

3. becok seperti _________________________

Rabu, 28 November 2012

Coretan Pena


 
        Sajak "Dengarlah Anak-anak Didikku' ini adalah hasil nukilan cikgu sendiri 15 tahun yang lalu. Sememangnya sajak ini didedikasikan teristimewa untuk anak-anak didik yang cikgu sayangi. Hayatilah untaian sajak ini sebagai sebahagian daripada panduan hidup anak-anak didikku sekalian dalam mengharungi kehidupan yang mendatang.

Dengarlah anak-anak Didikku
Setiap sore
kaki diorak
hening pagi diredah
kicauan burung mengiringi
semangat abadi.

Derapan sepatu
bongkah-bongkah batu disusuri
kayu-kayu persegi diseliti
papan kapur teman diri
istilah jemu pantang bersemadi
bersama nafas perjuangan
mendidik generasi wawasan.

Di celah-celah dinding
terngiang-ngiang
ABC dilaungkan
alif, ba, ta dilagukan
nyanyian dialunkan
mengira bait-bait angka
menghitung titian rasa
baris-baris huruf terungkap
tangan-tangan kerdil menadah
tercalit tinta merah
benih keilmuan
minda tersemai.

Dengarlah wahai anak-anak didikku,
pengajaran,
pengalaman
serta penghidupan
mengajar erti kejayaan.

Emosi,
rohani,
jasmani,
intelek
juga keazaman
menuntut kejituan.

Dengarlah anak-anakku,
era kemodenan
kecanggihan
menanti orak langkahmu di hadapan.

Ingatlah,
kamu semua adalah pewaris
kamu juga tunggak negara!

Ayuh,
sematkan azam
kuatkan semangat
agar kejayaan
mampu digenggam!

Anak-anakku sekalian,
ingatlah pesan guru ini…
bukan pinta diagungkan
bukan jua menagih simpati
tapi cukuplah…..
cukuplah sekadar
kejayaanmu yang mengiringi
itulah kemenangan kami
itulah kegembiraan kami
untuk kami insan guru.

Perjuangkanlah
tingkatkanlah usaha
wahai anak-anakku…..
nescaya,
esok dicipta
untuk kalian.




Mengarang Sajak
Sekarang, tiba giliran murid-murid pula untuk mengarang sebuah sajak yang dapat menggambarkan perasaan serta harapan terhadap orang yang kamu sayangi. 

Selasa, 27 November 2012

Indahnya Bahasa Kita


         
              Pantun merupakan salah satu daripada jenis-jenis puisi. Keindahan dan kehalusan bahasa yang digunakan dalam sesebuah pantun itu tidak terungkap dek kata-kata. Pelbagai nasihat, jenaka mahupun ilmu banyak diselitkan dalam menyampaikan maksud tersurat dan tersirat kepada masyarakat. 

       Semasa saya belajar di sekolah rendah 33 tahun yang lalu, pantun, gurindam, seloka, sajak dan banyak lagi telah diajar. Setiap tahun, kami akan dibekalkan dengan sebuah buku puisi. Pantun-pantun lama menjadi mainan di bibir kami.

        Apa yang menyedihkan, usaha ini tidak diteruskan dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah rendah kini. Hal yang demikian, tidak hairanlah generasi sekarang tidak mengenali puisi kita yang terdahulu. Sayang bukan? Ini satu keadaan yang amat membimbangkan kita dalam usaha memastikan pantun-pantun lama seperti ini tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. 

              Tontonlah video 'Gurindam Jiwa' yang dipaparkan untuk membuktikan betapa indah dan halusnya bahasa kita dalam pantun-pantun yang dinyanyikan.

Tugasan hari ini;
Murid-murid dikehendaki menyalin dua daripada rangkap pantun yang terdapat di dalam video tersebut menggunakan tulisan berangkai.

Isnin, 26 November 2012

KATA PUJANGGA


Tiada Kata Secantik Bahasa
Kata-kata pujangga amat indah, hayatilah..

Lembar Bahasa (DBP)


          Sedarkah kita bahawa cara sebutan sesuatu perkataan bahasa Melayu berbeza mengikut nada serta intonasi dan adakalanya ia mengelirukan lebih-lebih lagi perkataan-perkataan yang dipinjam daripada bahasa asing. Hal yang demikian, marilah sama-sama kita pelajari ejaan yang betul bagi beberapa perkataan di bawah dengan merujuk Lembaran Bahasa DBP ini.

KESILAPAN MENGEJA PERKATAAN
SALAH
BETUL
deligasi
fax
emel
forklift
ide
impot
injin
insuran
kelendar/ kelender
ko-kurikulum
kolestrol
komersil
kontingen
komplek
lagenda
lanskap
label
leukimia
liberalisma
lojik
losyen
maksima
mee
mekanisma
delegasi
faks
e-mel
forklif
idea
import
enjin
insurans
kalendar
kokurikulum
kolesterol
komersial
kontinjen
kompleks
legenda
landskap
label
leukemia
liberalisme
logik
losen
maksimum
mi
mekanisme
Betulkan yang Salah,
Biasakan yang Betul

Ahad, 25 November 2012

TAHUKAH KITA?

                                                                      

PENGGUNAAN  ‘ter-‘, ‘sekali’ dan ‘paling’
Dalam bahasa Melayu, imbuhan ‘ter-‘ dan kata penguat ‘sekali’ dan ‘paling’ sudah menunjukkan darjah penghabisan. Oleh itu, suatu kata adjektif itu hanya boleh menggunakan ‘ter-‘ atau ‘paling’ atau ‘sekali’. Kedua-dua atau ketiga-tiganya tidak boleh digunakan serentak. Misalnya, apabila suatu kata adjektif itu telah menggunakan imbuhan'ter-', maka kata penguat ‘sekali’ dan ‘paling’ tidak perlu lagi. Begitu juga sebaliknya. Kesimpulannya, imbuhan’ter-‘, ‘sekali’ dan ‘paling’  tidak boleh digunakan serentak dalam satu-satu ayat.


Betul
Salah
terpandai
tertinggi
terindah
paling baik
paling cantik
paling masyhur
baik sekali
pandai sekali
cantik sekali
terpandai sekali
tertinggi sekali
terindah sekali
paling terbaik/ paling baik sekali
paling tercantik/ paling cantik sekali
paling termasyhur/ paling masyhur sekali
paling terbaik sekali
paling terpandai sekali
paling tercantik sekali


Tugasan hari ini;
Betulkan ayat di bawah.

1. Pokok di belakang rumah saya terlalu tinggi sekali.
   _______________________________________________________

2. Harga batu permata itu paling mahal sekali.
    ______________________________________________________

3. Sungai itu paling terdalam.
    ______________________________________________________

4. Di dalam kelas, dialah terpaling pandai.
    ______________________________________________________

5. Terbesar sekali rumah di atas bukit itu.
    ______________________________________________________ 

Lembar Bahasa (DBP)

      
KESILAPAN MENGEJA PERKATAAN
SALAH
BETUL
catit
talipon
maksima
minima
otomatik
oditorium
mengenengahkan
analisa
olih
cop
bumiputra

catat
telefon
maksimum
minimum
automatik
auditorium
mengetengahkan
analisis
oleh
cap
bumiputera

Betulkan yang Salah, Biasakan yang Betul