Jumaat, 14 Disember 2012

Laman Ilmu


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Apa khabar? Cikgu sentiasa mendoakan anak-anak murid cikgu sihat di samping keluarga tersayang.
         Apa kata pada hari ini kita bermain sambil belajar. Boleh? Cikgu pasti murid-murid cikgu akan gembira serta seronok dengan permainan bahasa ini. Secara tidak langsung, melalui permainan bahasa ini murid-murid dapat menambahkan pengetahuan tentang kosa kata bahasa Melayu dengan lebih mudah dan berkesan. Cubalah... 

Klik di sini



Khamis, 13 Disember 2012

Kayanya Bahasa Kita

Selamat Sejahtera murid-murid. Cikgu berharap kalian sihat sentiasa. 
        Baiklah, murid-murid. Hari ini cikgu akan membincangkan tentang bahasa kita yang kaya dengan dialeknya atau turut dipanggil loghat serta telor. Bahasa dialek merujuk kepada bahasa daerah yang digunakan oleh masyarakat setempat. 
                         Cikgu pasti murid-murid pun pernah mendengar bahasa-bahasa dialek yang digunakan oleh masyarakat di negara kita Malaysia sama ada melalui perbualan secara tidak langsung mahu pun melalui kaca televisyen serta radio. Antaranya, dialek Utara iaitu merujuk kepada negeri Kedah, Pulau Pinang serta Perlis, dialek Negeri Sembilan, dialek Kelantan dan dialek Sabah serta Sarawak. 
                    Dialek-dialek ini berbeza antara satu sama lain sama ada daripada segi sebutan mahu pun intonasi. Ini jelas menujukkan bahasa kita kaya dengan dialek yang mewakili pelbagai masyarakat dan budaya. Hal yang demikian, kita seharusnya bangga menjadi rakyat Malaysia dengan sentiasa berusaha untuk memelihara bahasa-bahasa dialek. 

Cintailah Bahasa Kita
 Tontonlah video lagu "Dok Mano' di bawah untuk membuktikan betapa indahnya bahasa kita. Hiburkan hati.....

video
  

Rabu, 12 Disember 2012

Julangkan Bahasa Kita



Assalamualaikum dan Selamat Pagi murid-murid. 
         Pada pagi ini cikgu ingin menyentuh tentang kesalahan penggunaan bahasa Melayu yang sering berlaku semasa berkomunikasi dalam kalangan masyarakat di negara kita sejak kebelakangan ini. Rasa cinta terhadap bahasa Melayu dipandang  sepi apabila bahasa Melayu dirojakkan dengan bahasa asing. Kepentingan bahasa Melayu semakin tergugat lebih-lebih lagi   apabila wujudnya bahasa sistem pesanan ringkas (sms) yang sudah pasti menghalang ke arah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 
         Mari kita tonton video di bawah bagi menjelaskan lagi pemasalahan penggunaan bahasa yang dihadapi kini.


Lantaran itu, bersama-samalah kita menjulang bahasa Melayu bahasa kita. Kalau bukan kita, siapa lagi. Sila klik http://rojak16.blogspot.com/2010/08/punca-penggunaan-bahasa-rojak.html untuk perkongsian ilmu.




Bahasa Menjunjung Budaya Bangsa

Selasa, 11 Disember 2012

Kisah Si Gembala Kambing

Selamat pagi murid-murid. Cikgu doakan semua murid sentiasa sihat dan ceria selalu. 
           Hari ini cikgu ada satu cerita berjudul 'Si Gembala Kambing'. Baca dan fahamilah cerita ini.


         Pada suatu hari, seorang gembala sedang mencari kambingnya yang hilang. Puas dia merayau-rayau di dalam semak dan hutan untuk mencari kambingnya yang hilang itu. Tiba-tiba si gembala ternampak seekor singa sedang berjalan ke araahnya. Singa itu berjalan terjengkek-jengkek kerana kakinya terpijak duri. 

               Si gembala sangat kasihan melihat singa itu. Kalau dia tidak memberi pertolongan kepada singa itu, tentu ia tidak dapat mencari makan dengan kakinya yang sakit. Si gembala pun  mencabut duri dari kaki singa itu. Singa itu sangat gembira. Kini kakinya tidak sakit lagi.

                Pada suatu hari, si gembala itu keluar mencari kayu api bersama anaknya. Si gembala itu menyuruh anaknya menunggu di bawah pokok ketika dia pergi mencari kayu api. Tiba-tiba muncul seekor singa yang sangat besar. Singa itu mengaum dan hendak menerkam anak si gembala itu. Si gembala yang melihat dari jauh menjerit dengan sekuat hati menyuruh anaknya lari untuk meneyelamatkan diri daripada dimakan oleh singa itu.

                Apabila mendengar suara si gembala itu, singa berhenti mengaum. Ia memandang ke arah gembala itu dan mengenali gembala yang pernah menolongnya dahulu. Perlahan-lahan singa itu berjalan meninggalkan si gembala lalu masuk ke dalam hutan.

Tugasan hari ini;
Bagaimanakah dengan cerita 'Si Gembala Kambing' ini? Cikgu pasti semua murid berasa seronok membacanya. Baiklah, di dalam cerita ini, terdapat beberapa nilai murni yang boleh dijadikan pengajaran. Tuliskan lima nilai murni yang terdapat di dalam cerita 'Si Gembala Kambing' beserta ulasan di dalam satu perenggan. Ikut panduan serta tip-tip menjawab Bahagian C Bahasa Melayu Kertas 2 yang telah murid-murid tonton melalui tayangan video semalam.

Isnin, 10 Disember 2012

Nilai-nilai Murni

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Apa khabar murid-murid? 
          Hari ini cikgu akan menunjukkan rakaman video pengajaran nilai-nilai murni untuk memudahkan murid-murid menjawab Bahagian C Bahasa Melayu Kertas 2. Berilah perhatian yang sepenuhnya terhadap tip-tip yang disampaikan ya, murid-murid.



Kata Sendi Nama

            Selamat pagi murid-murid. Baiklah, hari ini cikgu akan menerangkan tentang kesalahan tatabahasa yang sering murid-murid lakukan terutama ketika membina atau melengkapkan ayat menggunakan kata sendi nama terutamanya penggunaan ‘dari’ dan ‘daripada’. Murid-murid didapati masih keliru sama ada harus menggunakan ‘dari’ atau ‘daripada’ dalam satu-satu ayat. 
Contohnya:


SALAH
BETUL
     ·         daripada semasa ke semasa
     ·         daripada hati ke hati   
     ·         daripada tandas
     ·         daripada timur ke barat 
     ·         daripada pukul 6.00 pagi
     ·         hujah dari pihak pembangkang
     ·         surat dari ibunya
     ·         dari semasa ke semasa
     ·         dari hati ke hati
     ·         dari tandas
     ·         dari timur ke barat
     ·         dari pukul 6.00 pagi
     ·         hujah daripada pihak pembangkang
     ·         surat daripada ibunya


              Kata sendi nama merupakan salah satu jenis kata tugas yang berfungsi sebagai kata depan kepada kata nama atau frasa nama. Apa yang murid-murid perlu tahu, kata sendi nama ‘dari’ digunakan untuk masa, tempat dan arah tetapi tidak boleh digunakan untuk manusia. Contoh:
i.    Mereka belajar dari pagi hingga petang.
ii.   Dia datang dari Sabah.
iii.  Angin kencang itu bertiup dari timur.
             
                      Kata sendi nama ‘daripada’ pula digunakan untuk manusia, perbandingan, sumber atau asal, bahagian sesuatu, perbezaan dan benda abstrak tetapi tidak boleh digunakan untuk masa, tempat dan arah. Contoh:                                                                  

i.                    Karim mendapat hadiah itu daripada ayahnya.
ii.                  Yusof lebih pandai daripada abangnya.
iii.                Bunga tiruan itu diperbuat daripada plastik.
iv.                Dua pertiga daripada guru-guru sekolah kami ialah wanita.
v.                  Bezakan haiwan jenis mamalia daripada jenis reptilia.
vi.                Kejayaan murid itu adalah hasil daripada ketekunannya.  

Cikgu berharap penerangan di atas membolehkan murid-murid dapat memahami dengan lebih
jelas tentang penggunaan kata sendi nama dengan betul dan tepat.

Sabtu, 8 Disember 2012

Jom Santai!

             Selamat pagi murid-murid. Hari ini cikgu tidak akan memberi sebarang tugasan sebaliknya cikgu sediakan video koleksi lagu kanak-kanak. Nyanyikan bersama-sama dan berseronoklah. Rehatkan minda. Semoga esok kita dapat bertemu lagi dalam ruangan blog ini untuk menambahkan pengetahuan tentang bahasa Melayu. Ceria selalu...


Jumaat, 7 Disember 2012

5A UPSR



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini, cikgu ada menyediakan beberapa latihan bahasa Melayu untuk dijawab oleh murid-murid sebagai latihan semasa cuti sekolah ini. Soalan-soalan ini cikgu dapat dari laman blog Pusat Sumber Sk Parit Haji Taib. Cubalah jawab-jawab soalan-soalan tersebut dengan memilih jawapan yang paling tepat. Klik di sini, http://skphtpss.blogspot.com/2010/04/soalan-ramalanpercubaanlatihan-upsr.html. Pilihlah latihan yang ingin murid-murid jawab. Banyak membuat latihan akan menjadikan kita lebih mahir dan cekap dalam menjawab setiap soalan. Usaha Tangga Kejayaan.

Kepada warga SK Parit Haji Taib, terima kasih tidak terhingga atas perkongsian ilmu ini.

Khamis, 6 Disember 2012

Bijak Peribahasa


Selamat pagi murid-murid cikgu. Apa khabar hari ini? Cikgu harap semuanya dalam keadaan sihat. 
           Tahukah murid-murid bahawa peribahasa merupakan salah satu daripada keindahan bahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu? Penggunaan peribahasa akan menjadikan sesuatu ayat itu lebih puitis dan meninggalkan kesan yang menyenangkan kepada si pembaca. 
              Lantaran itu, pada hari ini, cikgu akan membawa murid-murid untuk mencari maksud peribahasa yang mungkin kalian belum tahu maksudnya. Marilah sama-sama kita berkongsi maklumat ini ya. Klik di sini http://peribahasamelayu.com/. Murid-murid akan dapat mempelajari pelbagai peribahasa dan maksudnya dengan lebih mudah. 
        Rajin-rajinlah untuk menambahkan ilmu pengetahuan tentang peribahasa ya.



Rabu, 5 Disember 2012

Coretan Pena


Bersua kembali murid-murid. Sihat hari ini? 
        Pada pagi ini, cikgu harap murid-murid dapat meluangkan sedikit masa membaca dan memahami pantun yang cikgu karang untuk keluaran risalah Pandu Puteri daerah Kluang suatu masa dahulu.
   Rangkap-rangkap pantun ini merujuk kepada ahli-ahli Tunas Puteri atau kini dikenali sebagai Pandu Puteri Tunas Pek 2, SK Tunku Mahmood 1, Kluang. Setiap rangkap pantun tersebut mengandungi maksud yang tersurat dan tersirat. Semoga anak-anak murid cikgu seronok membaca pantun ini.

Mari Berpantun

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Sebagai mukadimah pemanis kata,
Tunas Puteri ingin berbicara,
Izinkan kami berpantun seloka.

Hari ini berkumpul bersama,
Pelbagai aktiviti telah dilaksana,
Penat dan lelah mulai terasa,
Sampailah tika kita gembira.

Pek 2 itulah kami,
Tunku Mahmood 1 memperkenalkan diri,
Memasak, beriadah sudah sebati,
Membentuk kami pasukan sejati.

'Tolong orang selalu' cogan kata,
Bantu-membantu tanpa mengira bangsa,
Tanggungjawab bangsa usah dilupa,
Mendidik kita menjadi manusia.

Khidmat masyarakat serta sumbangan,
Cogan kata dilupa jangan,
Saling menolong serta berkawan,
Pasti menjadi moto pasukan.

Siantan, Kenanga, Teratai, Cempaka,
Ke mana-mana pasti bersama,
Bersatu bangsa teguh negara,
Seia sekata setiap masa.

Pabila bertemu saling mengenali,
Senyum selalu setiap hari,
Jalinan silaturahim dierat sebati,
Hubungan muhibah kekal di sanubari.

Indah budi serta bahasa,
Inilah hari paling istimewa.
Bermain, menyanyi juga bermesra,
Aktiviti kepanduan pasti teruja,

Sekian sahaja bicara kami,
Coretan pena terpahat bersemi,
Izinkan kami mengundur diri,
Moga bertemu di lain hari.

Selasa, 4 Disember 2012

Seronoknya Bercuti


         Selamat pagi murid-murid. Sudah bersarapan? Cikgu berharap kalian seronok sepanjang cuti sekolah ini. Jangan lupa isikan masa cuti ini dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Dalam masa yang sama, keselamatan jangan diabaikan terutama sekarang musim tengkujuh. Jangan bermain air bah, bahaya!
           Baiklah, hari ini cikgu ingin berkongsi pengalaman cikgu makan angin ke Melaka Bandaraya Bersejarah beberapa hari yang lalu bersama-sama keluarga. Dalam perjalanan ke sana, cikgu telah singgah di Medan Asam Pedas Parit Jawa, Muar untuk menikmati asam pedas Pak Ya yang sungguh enak.
        Di Melaka, cikgu telah melawat ke beberapa tempat yang menarik sepanjang percutian tersebut. Antaranya Taman Mini Malaysia, Galeri Produk Penjara dan Melaka Wonderland. Tidak lengkap percutian sekiranya tidak membeli-belah, betulkan? Cikgu sekeluarga telah ke Mahkota Parade, Dataran Pahlawan dan Hatten yang banyak menawarkan jualan murah sempena akhir tahun dan sambutan perayaan Krismas.

        Walaupun cuma 3 hari 2 malam, namun cikgu sekeluarga berasa sungguh seronok dengan percutian ini. Cikgu berharap pada tahun hadapan cikgu turut berpeluang melawat ke tempat-tempat menarik di Malaysia yang sememangnya menjanjikan satu pengalaman yang indah.







Bermain air di Melaka Wonderland. Satu pengalaman yang menyeronokkan.




Bersiar-siar bersama keluarga; Cikgu Che Zul, Che Adli dan Che Zahin sambil membeli-belah di Mahkota Parade, Dataran Pahlawan dan Hatten.


Terdapat banyak barang jualan hasil kerja tangan banduan dari  penjara seluruh Malaysia.  Hasil buatan setiap barangan amat berkualiti dan harganya lebih murah berbanding harga di pasaran. Cubalah datang dan lihat sendiri. Cikgu pasti kamu pun akan tertarik.



Di Taman Mini Malaysia. Walaupun masih dalam proses pengubahsuaian  tetapi   keindahan rekabentuk setiap rumah tradisional negeri-negeri di Malaysia masih terpelihara.



Tugasan hari ini;
Cikgu pasti murid-muridpun turut berpeluang melawat ke tempat-tempat menarik sebagai salah satu aktiviti yang dilakukan sepanjang cuti sekolah ini. Apa kata kita berkongsi tentang pengalaman murid-murid bercuti pula. Hal yang demikian, murid-murid dikehendaki menulis sebuah karangan untuk menceritakan pengalaman bercuti bersama-sama keluarga ke tempat-tempat menarik.

Isnin, 3 Disember 2012

Penulisan

Selamat pagi. Bersua kembali kita dalam ruangan Wadah Bahasa. 
            Baiklah, murid-murid. Hari ini kita akan belajar tentang panduan menulis karangan. Cikgu harap semua murid dapat memberikan  sepenuh perhatian terhadap tayang video Tutor TV ini untuk memahami dengan lebih jelas tentang aspek-aspek penting yang perlu ada dalam membina sebuah karangan atau penulisan yang baik.


                                         

Adakah kamu faham dengan penerangan tentang cara-cara menulis karangan yang betul melalui tayangan video Tutor TV sebentar tadi? Cikgu amat berharap kamu dapat memahami dengan lebih jelas tentang perkara yang perlu kamu lakukan dalam membina sebuah karangan yang berkualiti bagi memenuhi aspek-aspek yang ingin dinilai seperti jumlah isi, kandungan isi, huraian atau olahan bagi setiap isi, penggunaan tatabahasa yang betul termasuk ejaan, tanda baca dan struktur ayat. Tidak lupa juga penggunaan peribahasa yang dapat menambahkan keindahan bahasa  sesebuah karangan. Cikgu turut berharap agar murid-murid dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari hari ini semasa menulis karangan seterusnya dapat membantu kamu agar memperoleh markah yang cemerlang untuk Bahagian B, Bahasa Melayu Kertas 2. 

Ahad, 2 Disember 2012

Kata Pemeri

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera murid-murid.

             Hari ini kita akan mempelajari tentang beberapa aspek tatabahasa yang murid-murid sering melakukan kesalahan dalam membina atau melengkapkan sesuatu ayat iaitu penggunaan kata pemeri yang betul. Berdasarkan pemerhatian cikgu, ramai murid yang masih kurang faham  tentang penggunaan kata pemeri 'adalah’ dan juga ‘ialah’ di dalam ayat. Contohnya;


SALAH
BETUL
  •     Kesihatan ialah lebih penting
        daripada harta benda.
  •     Sarah adalah wanita yang paling cantik di kampung itu.
  •      Kesihatan adalah lebih penting
         daripada harta benda.
  •      Sarah ialah wanita yang paling
         cantik di kampung itu.

            Kata pemeri merupakan unsur yang menjadi pemeri hal atau penghubung antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat.
a. Penggunaan kata pemeri ialah digunakan di hadapan frasa nama.
    
Contoh; Bangunan yang tinggi itu ialah kompleks beli-belah.
b. 
Penggunaan kata pemeri adalah digunakan di hadapan frasa adjektif.
    
Contoh; Tema Hari Kebangsaan pada tahun ini adalah tepat sekali.
c.
Penggunaan kata pemeri adalah digunakan di hadapan frasa sendi nama.
    
Contoh; Pengumuman itu adalah daripada guru besar.

            Walau bagaimanapun, kata pemeri tidak boleh hadir bersama-sama kata nafi kecuali dalam binaan: adalah + kata nafi + frasa adjektif seperti dalam ayat-ayat di bawah.
i.                     Tuntutan mereka adalah tidak wajar.
ii.                   Jawapan itu adalah tidak tepat.
iii.                  Laporan itu adalah tidak benar.
Namun begitu, kata pemeri adalah dalam ayat-ayat contoh di atas boleh digugurkan tanpa menjejaskan makna atau struktur ayat.
                                                                        
Kata pemeri juga tidak boleh hadir di hadapan kata kerja atau frasa kata kerja seperti yang dijelaskan di dalam rajah di bawah.

SALAH
BETUL
  •         Adalah diberitahu bahawa 
            pejabat kami akan ditutup 
            esok.
  •  Adalah dimaklumkan bahawa   permohonan tuan telah diluluskan.

  • Dengan ini diberitahu bahawa           
        pejabat kami akan ditutup esok.
  • Dengan ini/Dengan hormatnya dimaklumkan 
        bahawa permohonan tuan 
        telah diluluskan.


Tugasan hari ini;
Untuk menguji pemahaman serta penguasaan kata pemeri ini, murid-murid diminta melengkapkan ayat-ayat di bawah menggunakan kata pemeri 'ialah' dan 'adalah' yang betul.

1. Cara-cara menyediakan kek oren berlapis ____________ seperti berikut.

2. Ringgit ___________ mata wang Malaysia.

3. Puan Julia _______________ guru bahasa Melayu tahun 6 Mutiara.

4. Pemilihannya sebgai pemain kebangsaan __________ keputusan yang
    paling tepat.

5. Bangunan Sultan Abdul Samad _______________ bangunan bersejarah.

6. Mutusami ___________ ketua pengawas yang baru dilantik.

7. Pemilihan Johan sebagai tokoh murid ___________ tepat sekali.

8. Hadiah itu _______________ pemberian daripada datuknya.

9. Ilmu pengetahuan __________ sangat penting berbanding harta kekayaan.

10. Siti Zulaikha __________ anak yang paling disayangi antara adik-
     beradiknya yang lain.

Sabtu, 1 Disember 2012

Cerita Dongeng Kanak-kanak

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.   Apa khabar murid-murid pagi ini? Cikgu doakan semuanya dalam keadaan sihat dan ceria selalu. Hari ini cikgu akan menayangkan sebuah video cerita dongeng kanak-kanak yang bertajuk 'Hikayat Sang Kancil dan Buaya'  untuk tontonan semua. 




Bagaimana dengan cerita yang baru kamu tonton ini? Menarik? Cikgu pasti anak-anak murid pasti terhibur dengan cerita tersebut. Sebagai tugasan hari ini, murid-murid dikehendaki menjawab soalan-soalan pemahaman berdasarkan cerita "Hikayat Sang Kancil dan Buaya" ini.

Jawab soalan-soalan di bawah menggunakan ayat yang lengkap.
1. Mengapakah Kancil ingin menyeberang sungai?
    ___________________________________________________

2. Apakah nasihat yang diberi oleh Ikan kepada Kancil?
    ___________________________________________________

3. Siapakah yang menjemput semua buaya untuk jamuan makan?
    ___________________________________________________

4. Berapakah jumlah buaya yang beratur di dalam sungai itu?
    ___________________________________________________

5. Berikan maksud peribahasa-peribahasa berikut:
    a. air yang tenang jangan disangka tiada buaya
        ________________________________________________

    b. sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga
        ____________________________________________________


Lembar Bahasa (DBP)


          Selamat pagi anak-anak murid cikgu. Hari ini kita akan menambah pengetahuan dalam mengeja perkataan dengan betul. Apa yang cikgu akan ajar hari ini adalah tentang perkataan yang dieja menggunakan satu 'k'.  Cikgu tahu ramai yang keliru bilakah perlu menggunakan satu 'k' atau dua 'k' dalam mengeja satu-satu perkataan. Apakah formulanya?

      Murid-murid, yang perlu diingat adalah perkataan yang merujuk kepada kata kerja mestilah diakhiri dengan '-kan'. Hal yang demikian, cikgu paparkan rajah di bawah supaya murid-murid lebih mudah dapat memahami konsep penggunaan satu 'k' dengan lebih jelas.

KESILAPAN PENGGUNAAN SATU ‘k’
SALAH
BETUL
          merosakan
      memperuntukan
menggerakan
membelokan
membanyakan
meletakan
memendekan
mencantikan
menunjukan
          memasukan
menaikan
menggalakan
mencampakan
membalikan
mengoyakan
membotakan
memburukan
menampakan
menyesakan
meretakan
merosakkan
memperuntukkan
       menggerakkan
membelokkan
membanyakkan
meletakkan
memendekkan
mencantikkan
menunjukkan
memasukkan
menaikkan
menggalakkan
mencampakkan
membalikkan
mengoyakkan
membotakkan
memburukkan
menampakkan
menyesakkan
meretakkan
Betulkan yang Salah,
Biasakan yang Betul