Selasa, 4 Disember 2012

Seronoknya Bercuti


         Selamat pagi murid-murid. Sudah bersarapan? Cikgu berharap kalian seronok sepanjang cuti sekolah ini. Jangan lupa isikan masa cuti ini dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Dalam masa yang sama, keselamatan jangan diabaikan terutama sekarang musim tengkujuh. Jangan bermain air bah, bahaya!
           Baiklah, hari ini cikgu ingin berkongsi pengalaman cikgu makan angin ke Melaka Bandaraya Bersejarah beberapa hari yang lalu bersama-sama keluarga. Dalam perjalanan ke sana, cikgu telah singgah di Medan Asam Pedas Parit Jawa, Muar untuk menikmati asam pedas Pak Ya yang sungguh enak.
        Di Melaka, cikgu telah melawat ke beberapa tempat yang menarik sepanjang percutian tersebut. Antaranya Taman Mini Malaysia, Galeri Produk Penjara dan Melaka Wonderland. Tidak lengkap percutian sekiranya tidak membeli-belah, betulkan? Cikgu sekeluarga telah ke Mahkota Parade, Dataran Pahlawan dan Hatten yang banyak menawarkan jualan murah sempena akhir tahun dan sambutan perayaan Krismas.

        Walaupun cuma 3 hari 2 malam, namun cikgu sekeluarga berasa sungguh seronok dengan percutian ini. Cikgu berharap pada tahun hadapan cikgu turut berpeluang melawat ke tempat-tempat menarik di Malaysia yang sememangnya menjanjikan satu pengalaman yang indah.







Bermain air di Melaka Wonderland. Satu pengalaman yang menyeronokkan.




Bersiar-siar bersama keluarga; Cikgu Che Zul, Che Adli dan Che Zahin sambil membeli-belah di Mahkota Parade, Dataran Pahlawan dan Hatten.


Terdapat banyak barang jualan hasil kerja tangan banduan dari  penjara seluruh Malaysia.  Hasil buatan setiap barangan amat berkualiti dan harganya lebih murah berbanding harga di pasaran. Cubalah datang dan lihat sendiri. Cikgu pasti kamu pun akan tertarik.



Di Taman Mini Malaysia. Walaupun masih dalam proses pengubahsuaian  tetapi   keindahan rekabentuk setiap rumah tradisional negeri-negeri di Malaysia masih terpelihara.



Tugasan hari ini;
Cikgu pasti murid-muridpun turut berpeluang melawat ke tempat-tempat menarik sebagai salah satu aktiviti yang dilakukan sepanjang cuti sekolah ini. Apa kata kita berkongsi tentang pengalaman murid-murid bercuti pula. Hal yang demikian, murid-murid dikehendaki menulis sebuah karangan untuk menceritakan pengalaman bercuti bersama-sama keluarga ke tempat-tempat menarik.

2 ulasan:

  1. Wah, seronoknya cikgu dan keluarga bercuti ya!Tengok gambar tu saya pun mcm nak pergi ke Melaka juga. Terima kasih cikgu kerana berkongsi pengalaman cikgu bersama kami....

    BalasPadam