Rabu, 28 November 2012

Coretan Pena


 
        Sajak "Dengarlah Anak-anak Didikku' ini adalah hasil nukilan cikgu sendiri 15 tahun yang lalu. Sememangnya sajak ini didedikasikan teristimewa untuk anak-anak didik yang cikgu sayangi. Hayatilah untaian sajak ini sebagai sebahagian daripada panduan hidup anak-anak didikku sekalian dalam mengharungi kehidupan yang mendatang.

Dengarlah anak-anak Didikku
Setiap sore
kaki diorak
hening pagi diredah
kicauan burung mengiringi
semangat abadi.

Derapan sepatu
bongkah-bongkah batu disusuri
kayu-kayu persegi diseliti
papan kapur teman diri
istilah jemu pantang bersemadi
bersama nafas perjuangan
mendidik generasi wawasan.

Di celah-celah dinding
terngiang-ngiang
ABC dilaungkan
alif, ba, ta dilagukan
nyanyian dialunkan
mengira bait-bait angka
menghitung titian rasa
baris-baris huruf terungkap
tangan-tangan kerdil menadah
tercalit tinta merah
benih keilmuan
minda tersemai.

Dengarlah wahai anak-anak didikku,
pengajaran,
pengalaman
serta penghidupan
mengajar erti kejayaan.

Emosi,
rohani,
jasmani,
intelek
juga keazaman
menuntut kejituan.

Dengarlah anak-anakku,
era kemodenan
kecanggihan
menanti orak langkahmu di hadapan.

Ingatlah,
kamu semua adalah pewaris
kamu juga tunggak negara!

Ayuh,
sematkan azam
kuatkan semangat
agar kejayaan
mampu digenggam!

Anak-anakku sekalian,
ingatlah pesan guru ini…
bukan pinta diagungkan
bukan jua menagih simpati
tapi cukuplah…..
cukuplah sekadar
kejayaanmu yang mengiringi
itulah kemenangan kami
itulah kegembiraan kami
untuk kami insan guru.

Perjuangkanlah
tingkatkanlah usaha
wahai anak-anakku…..
nescaya,
esok dicipta
untuk kalian.




Mengarang Sajak
Sekarang, tiba giliran murid-murid pula untuk mengarang sebuah sajak yang dapat menggambarkan perasaan serta harapan terhadap orang yang kamu sayangi. 

6 ulasan:

  1. Taniah cikgu..dengan terhasilnya blog ini maka kita akan jadi blogger akhirnya..tak terfikir pun kan..

    BalasPadam
    Balasan
    1. betul, memang tak terfikir rupanya kita mampu membina laman blog sendiri dengan bantuan rakan-rakan. Terima kasih banyak-banyak kerana sudi melawat ke laman blog ini.

      Padam
  2. tahniah...teruskan berkarya untuk dikongsi bersama ya....

    BalasPadam
  3. Pas ni blh buatkn ruangan cgu2 n kwn2 tulis n hntr sjak puler.. Msti syok.. :) Jemputlh hdir n comen blog Dwi yer..

    http://impiansicomel.blogspot.com/

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih, Dewi. Akak cuba perbaiki dari semasa ke semasa. Akak pun dah melawat laman blog Dewi. Tahniah ya!

      Padam