Jumaat, 14 Disember 2012

Laman Ilmu


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Apa khabar? Cikgu sentiasa mendoakan anak-anak murid cikgu sihat di samping keluarga tersayang.
         Apa kata pada hari ini kita bermain sambil belajar. Boleh? Cikgu pasti murid-murid cikgu akan gembira serta seronok dengan permainan bahasa ini. Secara tidak langsung, melalui permainan bahasa ini murid-murid dapat menambahkan pengetahuan tentang kosa kata bahasa Melayu dengan lebih mudah dan berkesan. Cubalah... 

Klik di sini



Khamis, 13 Disember 2012

Kayanya Bahasa Kita

Selamat Sejahtera murid-murid. Cikgu berharap kalian sihat sentiasa. 
        Baiklah, murid-murid. Hari ini cikgu akan membincangkan tentang bahasa kita yang kaya dengan dialeknya atau turut dipanggil loghat serta telor. Bahasa dialek merujuk kepada bahasa daerah yang digunakan oleh masyarakat setempat. 
                         Cikgu pasti murid-murid pun pernah mendengar bahasa-bahasa dialek yang digunakan oleh masyarakat di negara kita Malaysia sama ada melalui perbualan secara tidak langsung mahu pun melalui kaca televisyen serta radio. Antaranya, dialek Utara iaitu merujuk kepada negeri Kedah, Pulau Pinang serta Perlis, dialek Negeri Sembilan, dialek Kelantan dan dialek Sabah serta Sarawak. 
                    Dialek-dialek ini berbeza antara satu sama lain sama ada daripada segi sebutan mahu pun intonasi. Ini jelas menujukkan bahasa kita kaya dengan dialek yang mewakili pelbagai masyarakat dan budaya. Hal yang demikian, kita seharusnya bangga menjadi rakyat Malaysia dengan sentiasa berusaha untuk memelihara bahasa-bahasa dialek. 

Cintailah Bahasa Kita
 Tontonlah video lagu "Dok Mano' di bawah untuk membuktikan betapa indahnya bahasa kita. Hiburkan hati.....

  

Rabu, 12 Disember 2012

Julangkan Bahasa Kita



Assalamualaikum dan Selamat Pagi murid-murid. 
         Pada pagi ini cikgu ingin menyentuh tentang kesalahan penggunaan bahasa Melayu yang sering berlaku semasa berkomunikasi dalam kalangan masyarakat di negara kita sejak kebelakangan ini. Rasa cinta terhadap bahasa Melayu dipandang  sepi apabila bahasa Melayu dirojakkan dengan bahasa asing. Kepentingan bahasa Melayu semakin tergugat lebih-lebih lagi   apabila wujudnya bahasa sistem pesanan ringkas (sms) yang sudah pasti menghalang ke arah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 
         Mari kita tonton video di bawah bagi menjelaskan lagi pemasalahan penggunaan bahasa yang dihadapi kini.


Lantaran itu, bersama-samalah kita menjulang bahasa Melayu bahasa kita. Kalau bukan kita, siapa lagi. Sila klik http://rojak16.blogspot.com/2010/08/punca-penggunaan-bahasa-rojak.html untuk perkongsian ilmu.




Bahasa Menjunjung Budaya Bangsa

Selasa, 11 Disember 2012

Kisah Si Gembala Kambing

Selamat pagi murid-murid. Cikgu doakan semua murid sentiasa sihat dan ceria selalu. 
           Hari ini cikgu ada satu cerita berjudul 'Si Gembala Kambing'. Baca dan fahamilah cerita ini.


         Pada suatu hari, seorang gembala sedang mencari kambingnya yang hilang. Puas dia merayau-rayau di dalam semak dan hutan untuk mencari kambingnya yang hilang itu. Tiba-tiba si gembala ternampak seekor singa sedang berjalan ke araahnya. Singa itu berjalan terjengkek-jengkek kerana kakinya terpijak duri. 

               Si gembala sangat kasihan melihat singa itu. Kalau dia tidak memberi pertolongan kepada singa itu, tentu ia tidak dapat mencari makan dengan kakinya yang sakit. Si gembala pun  mencabut duri dari kaki singa itu. Singa itu sangat gembira. Kini kakinya tidak sakit lagi.

                Pada suatu hari, si gembala itu keluar mencari kayu api bersama anaknya. Si gembala itu menyuruh anaknya menunggu di bawah pokok ketika dia pergi mencari kayu api. Tiba-tiba muncul seekor singa yang sangat besar. Singa itu mengaum dan hendak menerkam anak si gembala itu. Si gembala yang melihat dari jauh menjerit dengan sekuat hati menyuruh anaknya lari untuk meneyelamatkan diri daripada dimakan oleh singa itu.

                Apabila mendengar suara si gembala itu, singa berhenti mengaum. Ia memandang ke arah gembala itu dan mengenali gembala yang pernah menolongnya dahulu. Perlahan-lahan singa itu berjalan meninggalkan si gembala lalu masuk ke dalam hutan.

Tugasan hari ini;
Bagaimanakah dengan cerita 'Si Gembala Kambing' ini? Cikgu pasti semua murid berasa seronok membacanya. Baiklah, di dalam cerita ini, terdapat beberapa nilai murni yang boleh dijadikan pengajaran. Tuliskan lima nilai murni yang terdapat di dalam cerita 'Si Gembala Kambing' beserta ulasan di dalam satu perenggan. Ikut panduan serta tip-tip menjawab Bahagian C Bahasa Melayu Kertas 2 yang telah murid-murid tonton melalui tayangan video semalam.