Rabu, 5 Disember 2012

Coretan Pena


Bersua kembali murid-murid. Sihat hari ini? 
        Pada pagi ini, cikgu harap murid-murid dapat meluangkan sedikit masa membaca dan memahami pantun yang cikgu karang untuk keluaran risalah Pandu Puteri daerah Kluang suatu masa dahulu.
   Rangkap-rangkap pantun ini merujuk kepada ahli-ahli Tunas Puteri atau kini dikenali sebagai Pandu Puteri Tunas Pek 2, SK Tunku Mahmood 1, Kluang. Setiap rangkap pantun tersebut mengandungi maksud yang tersurat dan tersirat. Semoga anak-anak murid cikgu seronok membaca pantun ini.

Mari Berpantun

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Sebagai mukadimah pemanis kata,
Tunas Puteri ingin berbicara,
Izinkan kami berpantun seloka.

Hari ini berkumpul bersama,
Pelbagai aktiviti telah dilaksana,
Penat dan lelah mulai terasa,
Sampailah tika kita gembira.

Pek 2 itulah kami,
Tunku Mahmood 1 memperkenalkan diri,
Memasak, beriadah sudah sebati,
Membentuk kami pasukan sejati.

'Tolong orang selalu' cogan kata,
Bantu-membantu tanpa mengira bangsa,
Tanggungjawab bangsa usah dilupa,
Mendidik kita menjadi manusia.

Khidmat masyarakat serta sumbangan,
Cogan kata dilupa jangan,
Saling menolong serta berkawan,
Pasti menjadi moto pasukan.

Siantan, Kenanga, Teratai, Cempaka,
Ke mana-mana pasti bersama,
Bersatu bangsa teguh negara,
Seia sekata setiap masa.

Pabila bertemu saling mengenali,
Senyum selalu setiap hari,
Jalinan silaturahim dierat sebati,
Hubungan muhibah kekal di sanubari.

Indah budi serta bahasa,
Inilah hari paling istimewa.
Bermain, menyanyi juga bermesra,
Aktiviti kepanduan pasti teruja,

Sekian sahaja bicara kami,
Coretan pena terpahat bersemi,
Izinkan kami mengundur diri,
Moga bertemu di lain hari.

2 ulasan:

  1. PANTUN CIPTAAN SENDIRI NI YA CIKGU....TERBAIK! SAYA MEMANG TAK PANDAI BERPANTUN LAGI NAK CIPTA / KARANG PANTUN...

    TERUSKAN UPDATE BLOG NI, BUKAN UTK KITA TAPI UTK PEMBACA BLOGGER DAN INPUT BAGI BLOGGER YG MENCARI BAHAN......TERIMA KASIH DAN THE BEST...

    BalasPadam
  2. Ok Kak Jehan. Terima kasih ya. Sama-samalah kita banyakkan maklumat dalam blog ya, tapi dah ketandusan idea le...

    BalasPadam